Penyataan Etika Penerbitan
Pernyataan Etika Penerbitan dan Penyataan Amalan Salah
Jurnal Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu beriltizam dalam mematuhi amalan etika terbaik dan menghendaki semua pihak untuk mematuhi standard tertinggi etika penerbitan yang telah ditetapkan oleh Commission on Publication Ethics (COPE).
Tanggungjawab Ketua Editor/Editor
Membuat penilaian kendiri terhadap semua makalah yang dihantar oleh penyumbang.
Memastikan penilai yang sesuai, berdasarkan latar belakang dan kepakaran, dilantik.
Memastikan proses penilaian dijalankan secara rahsia (double blind review).
Mendapatkan pandangan daripada Lembaga Editorial secara aktif.
Membuat keputusan makalah yang akan diterbitkan dan juga menentukan masa makalah tersebut akan diterbitkan.
Tanggungjawab Penulis
Memastikan makalahnya baharu, asli dan tidak pernah diterbitkan atau sedang dalam pertimbangan jurnal yang lain.
Memastikan tidak ada unsur plagiat dalam makalah yang dihantar.
Memastikan semua petikan dan rujukan dinyatakan dengan jelas sumbernya dan lengkap maklumatnya.
Sekiranya mengambil data sekunder daripada mana-mana sumber, nyatakan dengan jelas sumber data tersebut diperoleh dengan maklumat yang lengkap.
Memastikan mematuhi format yang telah ditetapkan oleh penerbit.
Tanggungjawab Penilai
Melakukan penilaian secara objektif, adil dan profesional.
Memaklumkan kepada Ketua editor/editor jika berlaku pelanggaran etika penerbitan dalam makalah yang dinilai.
Memastikan makalah yang dinilai tiada plagiat atau pernah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan sebelum ini.
Memastikan menilai dalam tempoh masa yang ditetapkan dan memaklumkan kepada Ketua editor/editor jika memerlukan pelanjutan masa penilaian makalah.
Tidak membincangkan makalah yang dinilai kepada pihak lain tanpa kebenaran.
Tanggungjawab Lembaga Editorial
Memberikan pandangan dan nasihat kepada editor untuk memantapkan jurnal sama ada secara bertulis atau lisan.
Memberikan penilaian terhadap makalah jurnal dari segi keaslian, ketinggian, dan kedalaman makalah.
Memberikan laporan kepada editor tentang mutu kandungan jurnal setiap kali diterbitkan.
Memaklumkan kepada editor tentang perkembangan mutakhir dalam disiplin kesusasteraan.
Menyumbang secara aktif untuk perkembangan jurnal.
Bertindak sebagai duta untuk jurnal.
Menyokong secara berterusan dan mempromosikan jurnal.
Menilai makalah yang diserahkan kepadanya untuk dinilai.
Penyataan Pencanggahan Kepentingan
Setiap penulis perlu membuat perakuan tentang percanggahan kepentingan ketika menghantar manuskrip kepada Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. Percanggahan kepentingan ini meliputi hubungan penulis dengan editor, penilai, penyunting, lembaga editorial, lembaga penasihat antarbangsa dan mana-mana pihak yang berkaitan dengan penerbitan makalah dalam jurnal ini. Hal ini bagi mengelakkan sebarang tekanan atau pengaruh yang menyebabkan sesuatu makalah yang dihantar itu terpaksa diterbitkan. Antara percanggahan kepentingan yang perlu didedahkan termasuklah dari sudut peribadi, pekerjaan, perundingan, pemilikan saham, honorarium, komersial, politik, akademik atau kewangan. Oleh itu, Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu akan sentiasa memastikan tidak berlakunya perkara ini dalam setiap penerbitan kami.
Tindakan Pelanggaran Etika
Sekiranya aduan berkaitan pelanggaran etika diterima, sidang editorial akan melakukan perkara berikut:
1) Memohon pihak pengadu mengemukakan bukti bagi setiap pelanggaran etika.
2) Menyiasat kebenaran dakwaan pengadu.
3) Mengambil tindakan berdasarkan setiap jenis pelanggaran etika seperti yang berikut:
a. Mengemas kini makalah berdasarkan maklumat yang diterima; atau
b. Memberi amaran kepada penulis; atau
c. Menarik balik artikel yang diterbitkan dalam OJS dan semua platform terlibat; atau
d. Mengantung penerbitan dalam tempoh enam bulan.
Capaian Terbuka
Jurnal ini diterbitkan secara dalam talian dan capaian terbuka (open access) kepada semua pengguna.
Polisi Bahasa
Makalah disiarkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Polisi Plagiat Jurnal
Pengarang hendaklah menyerahkan karya asli yang tidak diciplak dan belum diterbitkan atau karya yang bukan dalam pertimbangan untuk penerbitan jurnal lain.Karya daripada penerbitan lain mestilah dipetik dan dinyatakan dengan jelas sumber dan lengkap maklumatnya.
Makalah yang dihantar kepada Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu akan disaring plagiarismenya menggunakan perisian pengesanan plagiarisme iaitu IThenticate. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu akan menolak makalah yang menunjukkan peratusan plagiarisme melebihi 25%. Editor kami akan berunding dengan lembaga editorial apabila membuat keputusan untuk menerbitkan karya tersebut.
Penyataan Privasi
Nama dan alamat e-mel yang diberikan dalam laman web jurnal ini akan digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan dalam jurnal ini dan tidak akan digunakan untuk sebarang tujuan lain atau diberikan kepada mana-mana pihak lain.




