Keterasingan dan Kemunduran dalam Masyarakat Pascakolonial: Kajian Bandingan Novel Salina dan Memories of Underdevelopment
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml38(2)no5Abstrak
Kajian ini membandingkan novel Salina karya A. Samad Said dengan Memories of Underdevelopment karya Edmundo Desnoes bagi mengkaji tema identiti, kemunduran dan perubahan sosial dalam konteks masyarakat selepas penjajahan dan selepas revolusi. Kajian ini penting kerana kedua-dua teks menggambarkan pengalaman sejagat masyarakat yang kononnya telah bebas secara politik, tetapi masih terikat pada struktur kuasa serta mentaliti kolonial yang diwarisi. Novel Salina, yang berlatarkan Malaysia selepas Perang Dunia Kedua, memperlihatkan penderitaan komuniti bandar yang terpinggir akibat kemiskinan dan kesan sejarah penjajahan. Sementara itu, Memories of Underdevelopment menyorot krisis identiti seorang intelektual Cuba yang berdepan dengan pertentangan antara idealisme revolusi dengan realiti sosial. Berdasarkan teori pascakolonial Edward Said, khususnya konsep wacana kuasa dan representasi dalam karya Orientalism (1978), kajian ini meneliti bagaimana dominasi kolonial terus wujud dalam bentuk baharu daripada aspek ekonomi, budaya dan psikologi walaupun selepas perubahan politik. Pemilihan kedua-dua teks adalah wajar kerana masing-masing memperlihatkan kegagalan proses transformasi sosial untuk membebaskan masyarakat daripada warisan kuasa lama. Kajian ini turut memperkaya wacana global pascakolonial dengan menghubungkan pengalaman Asia dan Amerika Latin serta menegaskan peranan sastera sebagai wadah kritikal untuk memahami hubungan antara sejarah, kuasa dan pembentukan identiti.
Kata kunci: pascakolonial, identiti, kemunduran, perubahan sosial, keterasingan, terpinggir
Teks penuh: PDF




Ketua Editor,