Penilaian Semula Folklor Melayu: Kosmologi, Identiti dan Naratif Gunung Keriang, Kedah, Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml38(2)no1Abstrak
Artikel ini meneliti folklor Gunung Keriang di Kedah melalui dua jalur naratif yang paling menonjol, iaitu mitos Sang Gedembai dan legenda Mat Raya. Walaupun sering dianggap sebagai cerita rakyat ringan atau sekadar hiburan, kedua-dua naratif ini sebenarnya mengandungi lapisan yang mendalam tentang memori budaya serta geografi simbolik dalam tradisi lisan Melayu. Mitos Sang Gedembai, yang mengisahkan sebuah perahu diraja yang menjadi batu menyerupai gunung akibat satu sumpahan, memperlihatkan modus mitos yang menggambarkan kegelisahan kosmologi tentang autoriti, perkahwinan dan pelanggaran adat. Legenda Mat Raya pula menempatkan Gunung Keriang dalam jalur kepahlawanan, yang mana agensi manusia dan restu ketuhanan bersilangan untuk menghasilkan sebuah penanda alam yang kekal sebagai monumen perlindungan dan pengorbanan. Dengan mempertemukan kedua-dua naratif asal ini secara perbandingan, kajian ini berhujah bahawa Gunung Keriang tidak berfungsi semata-mata sebagai formasi geologi, tetapi sebagai teks budaya yang menghubungkan mitos, legenda dan persekitaran hidup masyarakat Kedah. Dari segi metodologi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif folkloristik berasaskan antropologi simbolik dengan menggabungkan tafsiran tekstual dan pemerhatian lapangan yang dijalankan di Gunung Keriang. Pendekatan struktural yang diilhamkan daripada konsep “pemikiran mitos” Lévi-Strauss diterapkan untuk meneliti bagaimana pertentangan binari seperti alam dan budaya, serta autoriti dan penentangan yang digambarkan dalam kedua-dua naratif tersebut. Dengan memanfaatkan kerangka kajian folklor dan antropologi simbolik, artikel ini menonjolkan bagaimana naratif tempatan mengubah topografi alam menjadi peta kosmologi yang memperlihatkan hubungan kuasa, moraliti dan identiti. Ceritacerita ini melambangkan bentuk pemikiran mitos dalam erti Lévi- Strauss, iaitu cara budaya menyelesaikan pertentangan seperti alam dan budaya, maskulin dan feminin, serta kuasa dan penentangan melalui representasi simbolik. Pada masa yang sama, kelangsungan kedua-dua naratif ini memaparkan peranan tradisi lisan untuk membentuk identiti budaya dan rasa kebersamaan komuniti dalam konteks Malaysia pascakolonial. Sumbangan utama penyelidikan ini terletak pada usaha menempatkan semula folklor Melayu, khususnya naratif landskap setempat, sebagai satu bentuk kedaulatan budaya dan geografi simbolik. Hal ini mencabar pengelasan tradisi lisan dalam arus perdana kajian kesusasteraan yang sering meminggirkannya dan menawarkan kerangka tafsiran baharu untuk memahami hubungan antara naratif, landskap dan identiti dalam dunia Melayu. Dengan mentafsir semula Gunung Keriang sebagai folklor yang bergerak antara mitos dengan legenda, artikel ini mengkritik kecenderungan konvensional yang meletakkan cerita rakyat Melayu di pinggiran wacana akademik. Sebaliknya, menempatkannya dalam wacana yang lebih luas tentang kosmologi, geografi simbolik dan kedaulatan budaya, serta membuktikan kerelevanannya bagi memahami persilangan antara naratif, landskap dan identiti di Alam Melayu.
Kata kunci: Gunung Keriang, folklor Melayu, Kedah, kosmologi, Gunung Gajah, Lévi-Strauss
Teks penuh: PDF




Ketua Editor,