Naratif Biopolitik dan Biokuasa dalam Dunia Futuristik: Analisis Komik Cyberpunk 2077: Trauma Team
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis naratif biopolitik dan biokuasa dalam dunia futuristik melalui representasi subgenre cyberpunk dan biopunk dalam plot komik Cyberpunk 2077: Trauma Team (2020–2021) terbitan Dark Horse Comics. Pendekatan kualitatif berbentuk analisis kandungan teks dengan kaedah struktur naratif digunakan untuk meneliti komik Cyberpunk 2077: Trauma Team (isu 1–4) ini. Fokus kajian tertumpu kepada dua objektif utama, iaitu mengenal pasti elemen cyberpunk dan biopunk dalam naratif visual komik serta menganalisis operasi biopolitik dan biokuasa melalui hubungan antara teknologi, tubuh manusia dan kuasa korporat. Pendekatan utama yang digunakan ialah konsep biopolitik dan biokuasa oleh Michel Foucault, di samping perbandingan dengan pandangan dunia Melayu-Islam melalui pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai konsep adab untuk memperlihatkan perbezaan dunia Barat dengan dunia Melayu-Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Trauma Team International mengkomodifikasikan nyawa manusia melalui sistem insurans berperingkat, sekali gus menentukan siapa yang layak hidup atau dibiarkan mati berdasarkan logik ekonomi. Selain itu, tubuh dan emosi pekerja turut dikawal melalui disiplin, pengawasan dan protokol korporat yang memperlihatkan operasi biokuasa dalam masyarakat pascamanusia. Analisis juga mendapati bahawa unsur cyberpunk dan biopunk dalam komik ini bukan sekadar membentuk latar futuristik, tetapi berfungsi untuk memperlihatkan krisis kemanusiaan, ketidaksamaan sosial dan dominasi kapitalisme teknologi. Kesimpulannya, kajian ini memperlihatkan bahawa komik merupakan medium naratif visual yang mampu menjadi ruang kritikan terhadap kuasa moden melalui gambaran dunia distopia yang dipengaruhi logik kapitalisme, di samping membuka perbincangan tentang kemanusiaan yang terperangkap antara perspektif Barat berasaskan biopolitik dan biokuasa serta pandangan dunia Melayu-Islam yang menekankan konsep adab dan kemuliaan insan.
Kata kunci: Cyberpunk, Biopunk, Biopolitik, Biokuasa, Cyberpunk 2077: Trauma Team, Naratif Visual.




Ketua Editor,