Kriteria Kepemimpinan dan Tadbir Urus Berdasarkan Naskhah Ketatanegaraan Melayu Terpilih
Abstrak
Kajian ini meneliti kriteria kepemimpinan dan tadbir urus dalam tradisi pemerintahan Melayu melalui analisis naskhah ketatanegaraan terpilih, iaitu Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin, Safinat al-Hukkam, Muqaddimah fi Intizam Waza’if al-Malik, dan Thamarat al-Muhimmah. Isu utama dalam penulisan ini ialah keperluan untuk memahami semula mekanisme legitimasi dan kestabilan negara dengan merujuk falsafah politik serta tradisi nilai tempatan. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti dan menghuraikan kriteria kepemimpinan serta tadbir urus yang terkandung dalam naskhah-naskhah tersebut. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang mengaplikasikan teknik kepustakaan dan analisis teks untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Hasil kajian diperoleh melalui proses analisis tematik yang dipandu oleh kerangka konsep tiga dimensi, iaitu kriteria peribadi, fungsional dan sistem tadbir urus. Penentuan kriteria pelantikan dilakukan berasaskan sintesis bukti tekstual daripada naskhah kajian yang dipadankan dengan parameter kerangka konsep tersebut. Hasil kajian mendapati bahawa mekanisme pemilihan menerusi syura, baiah dan wasiat berfungsi sebagai sumber legitimasi dan menjadi medium pencegahan penyalahgunaan kuasa. Amalan praktikal seperti bermusyawarah dengan ulama, ketelitian menilai maklumat, budaya turun padang, serta pelantikan pembesar berwibawa seperti wazir dan utusan merupakan elemen penting bagi pengukuhan legitimasi dan kestabilan kedaulatan. Secara keseluruhannya, penulisan ini menyumbang kepada bidang ketatanegaraan dengan menggariskan panduan tadbir urus berasaskan prinsip integriti, keadilan dan amalan syura. Dapatan kajian memperkukuh lagi keperluan pemimpin untuk mengutamakan kebajikan rakyat serta kedaulatan undang-undang demi menjamin kestabilan negara. Selain itu, kajian ini mencadangkan model kepemimpinan yang dinamik dan berwawasan sebagai asas kepada transformasi tadbir urus yang lebih telus dan mampan.
Kata kunci: Tadbir urus, kriteria kepemimpinan, naskhah ketatanegaraan, pemerintah, wazir, utusan




Ketua Editor,