Analisis Kreativiti Penulisan Pantun Melayu Berasaskan Aplikasi Teknologi AI

Pengarang

  • Kasmaizun Enuni Mohd Sarji Fakulti Bahasa Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia
  • Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi Fakulti Bahasa Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia.
  • Siti Fariza Isa Fakulti Bahasa Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia.
  • Hasrina Baharum Fakulti Bahasa Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia.

Abstrak

Perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence (AI)) telah membawa perubahan terhadap landskap penghasilan karya kreatif, termasuk dalam bidang kesusasteraan Melayu. Walau bagaimanapun, sejauh mana pantun yang dijana menggunakan aplikasi AI mampu menandingi kreativiti manusia dari aspek struktur, estetika bahasa dan nilai kepuitisan masih belum banyak diterokai. Kekurangan kajian yang membandingkan secara langsung hasil penulisan pantun AI dengan pantun yang dihasilkan oleh manusia mewujudkan keperluan untuk penelitian yang lebih mendalam. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan menganalisis dan membandingkan kreativiti penulisan pantun Melayu berasaskan aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dengan pantun yang dihasilkan oleh pelajar. Secara khusus, kajian ini mengenal pasti ciri-ciri kreativiti pantun yang dijana oleh AI, menganalisis aspek struktur dan estetika pantun, serta membandingkan penggunaan unsur tradisional dan inovatif antara kedua-dua kumpulan pantun. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk analisis kandungan teks. Data kajian terdiri daripada 20 rangkap pantun yang dijana menggunakan aplikasi AI sepenuhnya dan 20 rangkap pantun yang dihasilkan oleh pelajar berdasarkan tema yang sama. Data dianalisis menggunakan kerangka analisis teks sastera yang meneliti aspek kreativiti, struktur pantun, estetika bahasa, simbolisme dan inovasi makna. Dapatan kajian menunjukkan bahawa aplikasi AI berupaya menghasilkan pantun yang mematuhi struktur formal pantun Melayu secara konsisten, khususnya dari aspek bilangan baris, pola rima serta hubungan antara pembayang dengan maksud. Namun demikian, pantun yang dijana AI didapati masih cenderung menggunakan pola yang konvensional, kurang menampilkan simbolisme budaya yang mendalam serta mempunyai tahap inovasi estetik yang terhad. Sebaliknya, pantun yang dihasilkan oleh pelajar memperlihatkan beberapa kelemahan dari segi ketekalan struktur, tetapi lebih menyerlah dari aspek kreativiti, kedalaman emosi, penggunaan perlambangan budaya dan penghasilan makna yang lebih asli. Kajian ini merumuskan bahawa AI berpotensi sebagai alat sokongan dalam penghasilan pantun Melayu, namun belum mampu menandingi kreativiti manusia secara menyeluruh. Dapatan kajian ini menyumbang kepada pemahaman tentang potensi dan batasan penggunaan AI dalam penghasilan karya sastera Melayu, di samping menyediakan asas rujukan kepada penyelidik, pendidik dan pembangun aplikasi AI dalam usaha memperkukuh pemeliharaan serta inovasi warisan pantun Melayu.

Kata kunci: Pantun Melayu; Kecerdasan Buatan (AI); kreativiti; analisis perbandingan; estetika sastera; kesusasteraan Melayu.

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik

Analisis Kreativiti Penulisan Pantun Melayu Berasaskan Aplikasi Teknologi AI. (2026). Malay Literature, 39(1). https://jurnal.dbp.my/index.php/MalayLiterature/article/view/9375