Gaya Pengurusan Air Muka dalam Teks Sulalatus Salatin
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml38(2)no2Abstrak
Kajian ini menganalisis gaya pengurusan air muka dalam teks klasik Melayu Sulalatus Salatin berasaskan kerangka teori pengurusan air muka (face negotiation theory) oleh Ting-Toomey (1988). Konsep air muka yang merangkumi maruah, harga diri dan kehormatan, merupakan aspek penting dalam budaya komunikasi masyarakat Melayu yang berteraskan nilai kesantunan dan keharmonian sosial. Walaupun teori ini sering diaplikasikan dalam konteks komunikasi moden dan rentas budaya, penerapannya terhadap teks klasik masih kurang diterokai. Objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis bentuk dan gaya pengurusan air muka yang diaplikasikan oleh watakwatak dalam Sulalatus Salatin berasaskan kerangka teori pengurusan air muka berdasarkan 12 peristiwa utama yang melibatkan konflik maruah dan perasaan malu. Empat gaya pengurusan air muka telah dikenal pasti, iaitu baik pulih air muka, tuntutan air muka, jaga air muka dan beri muka. Hasil kajian menunjukkan bahawa tuntutan air muka merupakan gaya paling dominan, mencerminkan usaha watakwatak mempertahankan maruah dalam konteks budaya kolektif. Kajian ini membuktikan bahawa teori komunikasi moden mampu diaplikasikan secara efektif bagi meneliti wacana tradisional, sekali gus membuka ruang interdisiplin antara kajian kesusasteraan dengan komunikasi budaya. Penemuan ini juga memperkukuh kefahaman terhadap nilai-nilai budaya Melayu silam bagi menangani konflik dan menjaga keharmonian sosial.
Kata kunci: Sulalatus Salatin, air muka, peristiwa malu, teori pengurusan air muka, budaya Melayu, komunikasi antara budaya
Teks penuh: PDF




Ketua Editor,