Mekanisme Diplomasi Islam dalam Naratif Tun Tuah

Pengarang

  • Mohd Haniff Mohammad Yusoff UNIVERSITI UTARPusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, 06010, Sintok, Kedah Darul AmanA MALAYSIA
  • Muhammad Hafeez Zakaria Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, 43400, Serdang, Selangor Darul Ehsan.

Abstrak

Secara umumnya, novel sejarah mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber dokumen atau bahan sejarah sebagai idea penggaluran penceritaan. Namun, bagi makalah ini, fokus diberikan kepada novel berunsur sejarah yang memanfaatkan peristiwa daripada naskhah tradisional terpilih. Naskhah-naskhah ini secara khusus menyoroti hubungan diplomatik dan ekonomi antara Kesultanan Melayu Melaka dengan kuasa luar sebagai teras naratifnya. Hubungan antara negara dengan negara merupakan kebijaksanaan peradaban masyarakat terdahulu sebagai strategi untuk meluaskan persefahaman, mengukuhkan kedudukan dengan memperoleh perlindungan daripada kuasa besar dan saling menghormati antara satu sama lain biarpun berlainan anutan agama dan budaya. Sesungguhnya, diplomasi juga dilihat sebagai sebuah seni bagi mewujudkan dan memperkukuh perhubungan antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Hubungan diplomasi antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan negara China antara yang paling menyerlah dikisahkan dalam novel berunsur sejarah Tun Tuah karya Affifudin Omar. Makalah ini cuba merungkai hubungan diplomasi yang terjalin antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan-kerajaan lain yang diketengahkan oleh pengarang dalam novel Tun Tuah. Novel Tun Tuah dibaca dengan teliti bagi memahami isi kandungan cerita yang ingin disampaikan, seterusnya mengenal pasti hubungan diplomasi antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan-kerajaan lain yang terkandung dalam novel Tun Tuah. Teori Diplomasi Islam yang dikemukakan Wang Yong Bao (Ahmed Musa) menunjangi analisis kandungan yang dijalankan, namun penelitian ini hanya menjurus kepada tiga daripada enam prinsip sahaja, iaitu Islam sebagai agama universal, tasamuh (toleransi) dan hubungan damai. Hasil penelitian yang dilaksanakan, pengarang menyerlahkan hubungan diplomasi yang wujud dan berketepatan seperti yang dianjurkan dalam Teori Diplomasi Islam. Tuntasnya, pengarang secara tidak langsung mengetengahkan ketamadunan bangsa dalam karya fiksyen melalui hubungan diplomasi yang ditonjolkan.

Kata kunci: Novel sejarah, diplomasi, Teori Diplomasi Islam, agama universal, toleransi, hubungan damai

Biografi Pengarang

  • Mohd Haniff Mohammad Yusoff, UNIVERSITI UTARPusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, 06010, Sintok, Kedah Darul AmanA MALAYSIA

    Mohd Haniff Mohammad Yusoff merupakan pensyarah sambilan dan pelajar pascasiswazah di Universiti Utara Malaysia. Beliau juga terlibat dalam penulisan kreatif dengan menggunakan nama pena Haniff Yusoff dan telah menerbitkan dua buah kumpulan cerpen dan beberapa antologi cerpen dan puisi. Selain itu, beliau merupakan mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik