Daripada Tradisi Lisan kepada Persembahan Populis: Muhammad Sanusi Md Nor dan Pentafsiran Semula Penglipur Lara Melayu dalam Budaya Politik Malaysia Kontemporari

Pengarang

  • Mohd Firdaus Abdullah Research Center for History, Politics and International Affairs, Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM, Bangi Selangor, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml38(2)no3

Abstrak

Artikel ini meneliti transformasi tradisi lisan Melayu dalam politik Malaysia kontemporari dengan mentafsir persona dan retorik Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, melalui lensa penglipur lara, iaitu pencerita, moralis dan pengkritik sosial tradisional dalam budaya kesusasteraan Melayu. Kajian ini berhujah bahawa Sanusi mewakili satu bentuk performatif lisan pascatradisional yang menghidupkan kembali estetika penceritaan, humor dan sindiran sebagai alat komunikasi populis. Dari segi metodologi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan interpretif berasaskan hermeneutik budaya dan analisis persembahan, dengan menumpukan kepada transkrip ucapan, laporan media dan video ucapan tular melibatkan penampilan awam Sanusi antara tahun 2020 hingga tahun 2024. Melalui pembacaan mendalam terhadap penggunaan dialek Kedah oleh beliau, perumpamaan yang digunakannya, dan gaya perwatakannya yang berseloroh, artikel ini menganalisis keupayaan performatif lisan yang berfungsi sebagai alat semiotik yang menormalkan kuasa politik melalui unsur keakraban dan nostalgia, serta kekuatan edaran digitalnya yang mengukuhkan lagi kesan afektif dan populis tersebut. Analisis menunjukkan bahawa dengan mempergunakan suara, idiom dan keintiman afektif penglipur lara, Sanusi mempersembahkan satu bentuk populisme berakar budaya yang bergema kuat dalam imaginasi subaltern Melayu, membolehkannya merapatkan jurang antara autoriti politik dengan sentimentaliti kehidupan seharian. Dengan demikian, penglipur lara terus bertahan sebagai satu bentuk budaya hibrid yang disesuaikan mengikut konteks melalui media digital dan populisme politik, yang mana estetika folklor menjadi medium pujukan, bantahan dan legitimat(pengesahan) diri. Makalah ini menyumbang secara empirikal melalui kajian kes yang memfokuskan Sanusi sebagai penglipur lara moden, dan secara teori dengan mengembangkan perbahasan tentang populisme, persembahan dan kesusasteraan Melayu melangkaui model gaya politik berpusatkan Eropah. Kajian ini mengemukakan pembacaan penyahjajahan terhadap budaya Melayu dengan menegaskan semula vitaliti epistemi tradisi lisan untuk mentafsir wacana politik moden, serta mengusulkan bahawa “sastera” bukanlah sebagai tekstualiti yang statik, tetapi sebagai satu bentuk persembahan budaya yang sentiasa berkembang dan terus membentuk imaginasi kolektif, serta afek politik dalam dunia Melayu. Dengan menelusuri pertindihan antara naratif, persembahan dan retorik populis, artikel ini memperlihatkan penglipur lara terus wujud sebagai ingatan dan kaedah dalam pembentukan budaya politik Malaysia kontemporari.

Kata kunci: Kelisanan, populisme, penyahjajahan, hibrid, estetika, Muhammad Sanusi Md Nor

Teks penuh: PDF

Rujukan

Diterbitkan

2025-12-31

Cara Memetik

Daripada Tradisi Lisan kepada Persembahan Populis: Muhammad Sanusi Md Nor dan Pentafsiran Semula Penglipur Lara Melayu dalam Budaya Politik Malaysia Kontemporari. (2025). Malay Literature, 38(2). https://doi.org/10.37052/ml38(2)no3