Realisme Formal and Wacana Novel Melayu Pertama
Abstrak
Dalam kesusasteraan Melayu, rata-rata pendapat ilmiah cenderung untuk menyatakan bahawa genre “novel” bermula pada sekitar dekad 1920-an, iaitu apabila wujudnya interaksi masyarakat Melayu dengan kolonial Barat, sehingga tercetusnya sistem pendidikan yang menjadikan mata pelajaran kesusasteraan Melayu sebagai silibus kurikulum wajib. Sehingga 1950-an, terdapat sekurang-kurangnya 300 judul novel telah dihasilkan. Daripada jumlah ini, Hikayat Panglima Nikosa (1876), Hikayat Faridah Hanom (1926), Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927–1928) dan Iakah Salmah? (1928–1929) merupakan antara novel yang konsisten diajukan sebagai “novel Melayu pertama”. Sehingga ke hari ini dan sepanjang yang diketahui, walaupun novel-novel Melayu terawal ini jelas memiliki tahun penerbitan yang dapat dijadikan ukuran untuk menentukan novel manakah yang terlebih dahulu diterbitkan, kesusasteraan Melayu ilmiah masih belum dapat mengenal pasti “novel Melayu pertama” yang dipersetujui bersama, lalu membuka ruang untuk membincangkan soal novel manakah yang layak dan tepat untuk diangkat sebagai “novel Melayu pertama”. Dalam konteks inilah, lahirnya korpus wacana novel Melayu pertama yang mengundang satu pengamatan yang menarik. Kajian ini distrukturkan untuk merealisasikan dua objektif kajian. Pertama, menganalisis perbincangan dalam kajian-kajian ilmiah mengenai novel Melayu pertama. Kedua, merumuskan idea-idea pokok yang mendasari wacana novel Melayu pertama. Kajian ini berhasil merumuskan bahawa idea-idea pokok yang mendasari wacana novel Melayu pertama ialah kecenderungan terhadap “realisme formal”; serta kedekatan novel-novel Melayu yang diajukan sebagai novel Melayu pertama ini dengan genre “novel-realis”.
Kata Kunci: novel Melayu awal, novel Melayu pertama, Hikayat Panglima Nikosa, Hikayat Faridah Hanom, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan, Iakah Salmah?




Ketua Editor,