Mengartikulasikan Cinta, Adab dan Ketauhidan: Analisis Lirik Lagu dalam Album Tradisional Melayu Siti Nurhaliza Gema Bumantara (2025)
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no6Abstrak
Kajian ini menganalisis album Gema Bumantara (2025) oleh Siti Nurhaliza sebagai sebuah album tradisional Melayu yang berfungsi bukan sahaja sebagai produk seni hiburan, tetapi juga sebagai teks budaya yang memartabatkan nilai adab, budi, spiritualiti dan pandangan alam masyarakat Melayu. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis tematik, stilistik dan pendekatan hermeneutik budaya Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa album ini membina wacana cinta yang beradat dan direstui, seperti yang tergambar dalam lagu ‘Kumbang Bunga’, ‘Jenjang Cinta’ dan ‘Kaca dan Permata’. Emosi rindu pula digarap secara matang dan berlapik dalam lagu ‘Hati Yang Rindu’ dan ‘Syurgaloka’. Album ini turut mengangkat fungsi seni sebagai alat teguran sosial melalui lagu ‘Rencong’ dan ‘Hujung Bumi’, yang mengetengahkan isu jati diri dan etika bahasa. Sementara itu, lagu ‘Pesanan Buat Diri’ dan ‘Kesuma’ menampilkan dimensi muhasabah diri dan ketundukan terhadap takdir. Keseluruhan wacana ini dirumuskan melalui ‘Cenderamaya’, yang mengangkat kesedaran ketauhidan sebagai inti pengalaman rohani. Kajian ini membuktikan bahawa album Gema Bumantara memperlihatkan kesinambungan warisan seni Melayu dalam konteks kontemporari melalui pemaknaan semula estetik, beradab dan berteraskan nilai ketuhanan.
Kata kunci: Album tradisional Melayu, analisis lirik, Hermeneutik budaya, seni dan adab, seni dan ketauhidan, Siti Nurhaliza.




