Perspektif Baharu Tentang Kerangka Historiografi untuk Mengkaji Warisan Linguistik Bahasa Melayu
DOI:
https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no5Abstrak
Makalah ini bertujuan mengemukakan perspektif baharu tentang kerangka historiografi bagi mengkaji warisan linguistik bahasa Melayu berasaskan ungkapan reti bahasa sebagai teras falsafah, teori dan metodologi beracuan watan. Persoalan utama yang dibangkitkan ialah kegagalan historiografi linguistik sedia ada dalam menangani ketulenan warisan keilmuan bahasa Melayu akibat dominasi fahaman universalisme Barat serta keterbatasan metodologi yang hanya tertumpu pada tokoh atau naskhah tertentu. Berasaskan perspektif pemeribumian ilmu, kajian ini menerapkan perungkaian semantik, penjejakan etimologi dan analisis lapangan makna untuk merekonstruksi konsep bahasa dalam kebudayaan Malayonesia. Dapatan menunjukkan bahawa konsep bahasa dalam acuan kebudayaan tersebut tidak terbatas pada struktur tatabahasa semata-mata, sebaliknya turut merangkumi juzuk pemikiran, adab dan kelakuan penutur. Berdasarkan dapatan tersebut, konsep tahu bahasa yang dikemukakan oleh Hassan (2016) diperluaskan kepada reti bahasa yang mengandungi empat teras utama, iaitu tatabahasa, tatafikir, tatalaku dan tataberbahasa. Kerangka ini menyatukan dimensi teknis linguistik dengan dimensi kognisi, psikologis dan moraliti, sekali gus berpotensi menjadi asas untuk menilai semula linguistik kontemporari serta memperkaya pemahaman terhadap warisan linguistik peribumi. Di samping itu, kerangka ini berpotensi menyumbang kepada pembentukan dasar kebudayaan negara dan memperkukuh hubungan antara bahasa, budaya dan ilmu. Kesimpulannya, reti bahasa menawarkan suatu perspektif linguistik yang "tidak biasa" kerana berakar pada jati diri kebudayaan asli dunia Malayonesia.
Kata kunci: bahasa Melayu, falsafah bahasa, historiografi linguistik, linguistik beracuan watan, pemeribumian ilmu.




