Konsep Metafizik dalam Peribahasa Melayu

Pengarang

  • Munif Zarirruddin Fikri Nordin Kedah Darul Aman, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no2

Abstrak

Peribahasa Melayu bermula dalam bentuk tradisi lisan dan penghafalan 
sebelum diperluas dalam bentuk tulisan. Walaupun ahli atau pencipta 
peribahasa tidak diketahui, tetapi struktur makna dan pembentukannya 
sangat menarik dan indah, serta menjangkau pelbagai konsep metafizik. 
Dengan ciri-ciri tersebut, peribahasa Melayu merupakan cebisan kecil produk dan manifestasi falsafah Melayu berlatarkan kearifan tempatan. Makalah ini (1) menjelaskan struktur makna metafizik dalam peribahasa Melayu, dan 
(2) membincangkan pembentukan konsep metafizik dalam peribahasa Melayu. 10 peribahasa dipilih dengan masing-masing mewakili lima konsep metafizik dengan fokus kepada ontologi, iaitu perubahan, taakulan dan pengalaman, sebab dan akibat, hukum alam, serta ruang dan masa. Makna semua peribahasa berkenaan adalah bersumberkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua susunan Abdullah Hussain (1989). Makalah ini mendapati bahawa dalam pengungkapan konsep metafizik berkenaan, struktur maknanya adalah sistematik, halus, unik dan mempunyai kesejajaran dengan ungkapan dan rima. Kepelbagaian konsep metafizik dalam peribahasa tersebut pula dibentuk oleh kefahaman, kebijaksanaan dan ketinggian akal budi ahli atau pencipta peribahasa dalam interaksi bersama-sama realiti dan kewujudan alam. Hal ini disingkap melalui kewujudan pelbagai konsep, seperti perubahan, ‘priori’ dan ‘posteriori’ dalam taakulan dan pengalaman, korolari dalam sebab dan akibat, hubungan berterusan dalam hukum alam, serta urutan dan pergerakan dalam ruang dan masa. Tetapi, persoalan selanjutnya ialah bagaimanakah pembentukan konsep metafizik Melayu tersebut dilakukan dan mengapakah kewujudannya bagaikan tidak disedari dan dipedulikan? Kajian akan datang perlu memberikan perhatian kepada konsep ini dengan menyusurgalurkan induk yang mencantumkan metafizik dalam peribahasa dengan cebisan lain produk dan manifestasi falsafah Melayu dalam kerangka pemetaan yang jelas supaya kewujudannya dirasai dan kepentingannya dihargai.

 

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2026-07-31

Cara Memetik

Konsep Metafizik dalam Peribahasa Melayu. (2026). Melayu:Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 19(2). https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no2