Perbandingan Strategi Pembugaran Bahasa Melayu di Malaysia dan Pelestarian Bahasa Daerah di Indonesia

Pengarang

  • Hilmiati M. Indi Universitas Islam Negeri Mataram, Indonesia.
  • Azman Che Mat Universiti Teknologi MARA Kampus Dungun, Terengganu, Malaysia.
  • Akmaluddin Kertanah Universitas Islam Negeri Mataram, Indonesia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.19(1)no5

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk menerangkan strategi yang digunakan di Malaysia dan Indonesia dalam menyokong pembugaran bahasa Melayu dan pelestarian bahasa daerah, termasuk peluang serta cabaran yang dihadapi. Bahasa peribumi dianggap sebagai aset penting dalam mengangkat warisan dan kebudayaan setempat, di samping berperanan sebagai agen perpaduan warga negara. Namun begitu, dalam era globalisasi dan teknologi kini, bahasa-bahasa ini berhadapan dengan pelbagai ancaman yang serius, termasuk dominasi bahasa asing dan kurangnya penyerapan bahasa warisan dalam sistem pendidikan dan media moden. Tambahan pula, perkembangan pesat teknologi komunikasi turut mempercepat perubahan penggunaan bahasa, yang secara tidak langsung menghakis nilai dan fungsi bahasa peribumi dalam kehidupan seharian. Kajian ini berpaksikan kepada persoalan bagaimana strategi pembugaran dan pelestarian bahasa yang efektif dapat dilaksanakan dalam konteks dua negara serumpun yang berkongsi akar budaya dan bahasa, namun berbeza dari sudut dasar dan pelaksanaan. Oleh itu, amatlah penting untuk diteliti bagaimana bahasa peribumi itu dapat dilestarikan dalam landskap sosial, politik dan teknologi yang semakin mencabar. Melalui metodologi kajian komparatif, penelitian ini membandingkan strategi pembugaran bahasa di kedua-dua wilayah untuk mengenal pasti persamaan dan perbezaannya. Penemuan kajian menunjukkan bahawa strategi pembugaran bahasa melibatkan pelbagai sektor penting seperti pendidikan, media dan teknologi, dasar kerajaan, aktiviti budaya, serta penggunaan bahasa Melayu dan bahasa daerah dalam kehidupan seharian, termasuk di rumah dan di tempat kerja. Pelibatan keluarga juga dikenal pasti sebagai elemen penting dalam pembugaran bahasa. Kajian ini memberikan implikasi terhadap keperluan memperkasakan martabat bahasa Melayu dan bahasa daerah melalui pendekatan seperti digitalisasi, pembangunan literatur moden yang menarik generasi muda, menyokong penutur asli sebagai agen pelestari, serta mengintegrasikan bahasa daerah dalam bahan pengajaran di sekolah.

Kata kunci: Peribumi, bahasa Melayu, bahasa daerah, pelestarian, ancaman, pendidikan


Teks penuh: PDF

Rujukan

Diterbitkan

2026-01-31

Cara Memetik

Perbandingan Strategi Pembugaran Bahasa Melayu di Malaysia dan Pelestarian Bahasa Daerah di Indonesia. (2026). Melayu:Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 19(1), 123-146. https://doi.org/10.37052/jm.19(1)no5