Representasi Kesakralan dalam Ritual Bedara: Kajian Budaya Visual Masyarakat Iban di Rumah Ngindang, Rantau Kemayau Manis, Ulu Engkari, Lubok Antu

Pengarang

  • Gregory Kiyai Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no1

Abstrak

Adat bedara merupakan satu daripada ritual tradisional masyarakat Iban di Sarawak yang masih diamalkan sebagai medium untuk memohon kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan keberkatan hidup. Walaupun ritual ini terus diamalkan dalam kalangan komuniti rumah panjang, kajian mengenainya dari perspektif budaya visual masih kurang dibincangkan dalam konteks visual budaya. Kajian budaya visual ialah bidang penyelidikan antara disiplin yang meneliti cara imej, objek, simbol, persembahan, ruang dan amalan visual penghasilan, serta penyampaian makna dalam sesuatu budaya. Bidang ini memberi tumpuan kepada cara masyarakat melihat, mentafsir dan memahami dunia melalui pengalaman visual yang dibentuk oleh konteks sosial, budaya, agama dan sejarah. Kajian budaya visual membolehkan penyelidik meneliti cara unsur visual, seperti piring persembahan, susunan ruang ritual, warna, objek sakral dan gerak perlakuan ritual dalam upacara Bedara mewakili dan mengkomunikasikan makna kesucian, kosmologi dan hubungan antara masyarakat Iban dengan alam spiritual. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan etnografi yang dijalankan di Rumah Ngindang, Rantau Kemayau Manis, Ulu Engkari, Sarawak. Data dikumpulkan melalui pemerhatian turut serta, temu bual separa berstruktur, dokumentasi visual dan analisis dokumen. Hasil dapatan menunjukkan bahawa adat bedara melibatkan penyediaan piring, penggunaan tekstil ritual, pakaian tradisional, simbol warna dan pelbagai objek budaya yang mempunyai makna simbolik dalam kosmologi Iban. Ritual ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi dengan Petara, urang Panggau dan roh nenek moyang, tetapi turut bertindak sebagai mekanisme pemeliharaan memori budaya dan identiti komuniti. Selain memperkukuh hubungan spiritual, pelaksanaan bedara juga mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan penghuni rumah panjang melalui pelibatan kolektif bagi persiapan dan pelaksanaan ritual. Kajian ini menyimpulkan bahawa adat bedara merupakan warisan budaya yang masih hidup dan berfungsi sebagai medium representasi visual yang mengekalkan pengetahuan, nilai dan identiti masyarakat Iban dalam konteks kontemporari.

Kata kunci: Agama tradisional peribumi, budaya visual, Iban, perwakilan suci, ritual Bedara, simbolisme ritual.

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2026-07-31

Cara Memetik

Representasi Kesakralan dalam Ritual Bedara: Kajian Budaya Visual Masyarakat Iban di Rumah Ngindang, Rantau Kemayau Manis, Ulu Engkari, Lubok Antu. (2026). Melayu:Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 19(2). https://doi.org/10.37052/jm.19(2)no1