Konflik Perundangan antara Pemilik Tanah dengan Pemaju Perumahan dalam Pembangunan Perumahan di Bawah Perjanjian Usaha Sama

Pengarang

  • Zalina Abdul Halim Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia.
  • Erni Juliana Rosli Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no5

Abstrak

Dalam konteks pembangunan perumahan pada masa ini, kerjasama antara pemilik tanah dengan pemaju menjadi amalan biasa bagi merealisasikan sesuatu projek. Namun begitu, hubungan ini tidak terlepas daripada pelbagai isu dan kekeliruan, terutamanya apabila melibatkan tanggungjawab, hak dan risiko pihak yang tidak diperincikan dengan jelas dalam perjanjian. Perjanjian usaha sama di Malaysia tidak dirangka untuk memberikan perlindungan undang-undang kepada pemilik tanah. Permasalahan kajian ini tertumpu pada kekeliruan dalam penentuan kedudukan undang-undang, serta pembahagian tanggungjawab antara pemilik tanah dengan pemaju perumahan. Masalah kelewatan projek dan projek terbengkalai sering menyebabkan tuan tanah berhadapan dengan pelbagai krisis dan masalah, termasuklah bebanan tanggungjawab untuk memulihkan projek. Perbincangan makalah ini terbahagi kepada tiga aspek konflik hubungan antara pemilik tanah dengan pemaju, iaitu:
(i) kekeliruan untuk menentukan kewujudan tanggungjawab fidusiari antara perkongsian dengan usaha sama, (ii) risiko peralihan tanggungan liabiliti yang selaras dengan takrifan di bawah Seksyen 3 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Pindaan 2013), dan (iii) implikasi pemberian Surat Kuasa Wakil kepada pemaju. Kajian ini dilakukan untuk meneliti kedudukan undang-undang dalam ketiga-tiga aspek tersebut dan cadangan bagi mengatasi isu yang berlaku. Kebanyakan kajian terdahulu memfokuskan kesukaran dan rintangan yang dialami oleh pembeli rumah apabila projek perumahan terbengkalai, tetapi masalah yang dihadapi oleh pemilik tanah
jarang-jarang diketengahkan. Kajian ini dilakukan berdasarkan penyelidikan perpustakaan tentang konflik dan dilema yang membelenggu tuan tanah yang terikat pada perjanjian usaha sama dengan pemaju perumahan, serta tinjauan literatur berdasarkan keputusan kes mahkamah dan dapatan daripada jurnal berwasit. Menerusi kajian ini, pengkaji mencadangkan penelitian peruntukan undang-undang di bawah akta yang berkaitan, serta penerapan liabiliti perkongsian terhad dalam perjanjian usaha sama pembangunan perumahan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh perlindungan pemilik tanah dan mitigasi risiko. Di samping itu, pengkaji turut mencadangkan pendedahan melalui konsultasi agensi kerajaan bagi memastikan kejelasan tanggungjawab, ketelusan dan pengurusan liabiliti sebelum hubungan usaha sama dimuktamadkan.

Kata kunci: Usaha sama, perkongsian, kewajipan fidusiari, pemaju perumahan, Akta 1966 (Pindaan 2015), Surat Wakil Kuasa

Teks penuh: PDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2026-07-30

Cara Memetik

Konflik Perundangan antara Pemilik Tanah dengan Pemaju Perumahan dalam Pembangunan Perumahan di Bawah Perjanjian Usaha Sama. (2026). Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia, 38(2). https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no5