Pentadbiran Harta Pusaka Kecil di Malaysia: Analisis Mekanisme Pembahagian dan Isu Perundangan
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no3Abstrak
Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap perkara probet dan pentadbiran harta pusaka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahagian Pengurusan Pusaka di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang melaksanakan fungsi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] didapati mengurus majoriti petisyen permohonan pembahagian harta pusaka di Malaysia. Permasalahan kajian terdahulu sering mendasari isu kesukaran penyelesaian pusaka yang kompleks yang melibatkan kekeliruan perundangan, kekurangan kesedaran, sikap berlengah dan pertelingkahan antara waris. Namun begitu, isu berkenaan dengan proses dan mekanisme pembahagian di agensi pentadbiran pusaka kurang diberikan perhatian sewajarnya. Oleh itu, pengkaji menganalisis mekanisme pembahagian dalam pentadbiran harta pusaka kecil yang digunakan secara umum (bagi harta pusaka si mati yang beragama Islam atau bukan Islam), termasuklah isu yang berhubung dengan penggunaan instrumen perancangan harta orang Islam dan isu tanah adat. Metodologi yang digunakan ialah kaedah kualitatif berasaskan doktrin kajian undang-undang daripada sumber primer dan sumber sekunder. Selain itu, temu bual turut dilakukan yang melibatkan dua wakil agensi di Bahagian Pengurusan Pusaka JKPTG Putrajaya dan Cawangan Pejabat Pembahagian Pusaka Negeri Sembilan. Hasil analisis mendapati bahawa terdapat tiga jenis mekanisme pembahagian dalam pentadbiran harta pusaka kecil, iaitu: (i) perintah pembahagian terus atau turun milik, (ii) perintah lantikan pentadbir atau surat kuasa mentadbir, dan (iii) perintah jualan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa apa-apa pertikaian yang berlaku yang melibatkan instrumen perancangan harta atau yang berkaitan dengan hukum syarak hendaklah dirujuk dan diputuskan terlebih dahulu oleh mahkamah syariah, manakala isu yang berkaitan dengan tanah adat perlu ditentukan oleh pihak yang berautoriti mengikut negeri yang berkenaan. Hanya selepas isu berbangkit ini diputuskan, barulah pemilihan mekanisme pelaksanaan pembahagian harta pusaka si mati dapat ditentukan oleh Pegawai Pembahagian Pusaka.
Kata kunci: Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, mekanisme pembahagian, pentadbiran harta pusaka kecil, faraid, perintah pembahagian turun milik, surat kuasa mentadbir
Teks penuh: PDF




