Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori di Malaysia: Analisis dari Perspektif Hak Asasi Manusia dan Keadilan Jenayah

Pengarang

  • Thurga Vasanthan Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.
  • Suhaizad Saifuddin Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no2

Abstrak

Pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 merupakan suatu perkembangan penting dalam sistem keadilan jenayah negara. Sebelum pindaan ini dilaksanakan, beberapa kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan statut lain memperuntukkan hukuman mati mandatori tanpa memberikan ruang kepada mahkamah untuk mempertimbangkan faktor mitigasi, tahap pelibatan tertuduh dan keadaan individu dalam penentuan hukuman. Keadaan ini menimbulkan pelbagai perdebatan dari perspektif hak asasi manusia dan keadilan jenayah, khususnya yang berkaitan dengan hak untuk hidup, keadilan substantif, risiko salah sabitan dan keterbatasan budi bicara kehakiman. Kajian ini dilakukan untuk menganalisis pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia dari perspektif hak asasi manusia dan keadilan jenayah dengan meneliti perkembangan perundangan, faktor yang mendorong perubahan dasar dan pendekatan penghukuman selepas pelaksanaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui reka bentuk kajian perundangan doktrinal dan sosioperundangan. Data diperoleh daripada sumber primer, seperti statut perundangan, kes mahkamah, hansard Parlimen dan temu bual separa berstruktur dengan pengamal undang-undang, serta sumber sekunder yang terdiri daripada artikel jurnal, buku akademik dan laporan badan hak asasi manusia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pemansuhan hukuman mati mandatori dipengaruhi oleh perkembangan prinsip hak asasi manusia, kebimbangan terhadap risiko kesilapan kehakiman, keperluan untuk memperkukuh keadilan substantif dan peluasan budi bicara kehakiman dalam sistem penghukuman. Analisis kes turut menunjukkan bahawa mahkamah mula menggunakan budi bicara kehakiman secara lebih meluas berdasarkan tahap pelibatan tertuduh, faktor mitigasi dan keadaan setiap kes selepas pemansuhan tersebut. Menerusi kajian ini, pengkaji mencadangkan pembentukan garis panduan penghukuman yang lebih jelas dan konsisten bagi memastikan keseragaman dalam penentuan hukuman selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia. Di samping itu, mekanisme semakan semula kes, serta program rehabilitasi dan integrasi sosial terhadap banduan perlu diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan pendekatan baharu ini dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan seimbang dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Kata kunci: Hukuman mati mandatori, hak asasi manusia, keadilan jenayah, budi bicara kehakiman, penghukuman, reformasi perundangan

Teks penuh: PDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2026-07-30

Cara Memetik

Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori di Malaysia: Analisis dari Perspektif Hak Asasi Manusia dan Keadilan Jenayah. (2026). Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia, 38(2), 233–262. https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no2