Evolusi Jenayah Siber Pada Era Digital: Analisis Teknologi, Masyarakat dan Kerangka Perundangan di Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no6Abstrak
Transformasi digital menjadi asas perkembangan ekonomi dan dijangka terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi. Di balik manfaat yang dibawa oleh perkembangan teknologi ini, ruang siber turut berkembang menjadi medium baharu perlakuan jenayah. Jenayah siber merangkumi pelbagai bentuk, seperti penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi, serangan terhadap sistem komputer dan penyebaran maklumat palsu. Oleh itu, pengkaji membincangkan isu jenayah siber yang makin meruncing pada era digital, khususnya kesannya terhadap masyarakat dari sudut sosial dan ekonomi. Sebab itu, kajian ini dilakukan untuk menganalisis faktor yang mempengaruhi kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat dan mengenal pasti modus operandi jenayah siber yang sering berlaku di Malaysia, serta membincangkan impak dari segi sosial dan ekonomi terhadap mangsa. Melalui kajian literatur dan analisis kes, pengkaji mengemukakan langkah pencegahan dan cadangan dasar yang relevan untuk mengurangkan jenayah siber. Hasil dapatan menunjukkan bahawa pendidikan keselamatan digital, literasi teknologi, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama antara sektor kerajaan dengan sektor swasta berperanan penting bagi membina ekosistem siber yang selamat. Pengkaji mencadangkan pendekatan bersepadu yang merangkumi pendidikan awam, pemantauan keluarga dan pelaburan terhadap infrastruktur keselamatan siber sebagai langkah proaktif untuk menangani ancaman jenayah siber ini.
Kata kunci: Jenayah siber, kesedaran keselamatan siber, penipuan dalam talian, pendidikan digital, dasar keselamatan siber, impak sosial dan ekonomi
Teks penuh: PDF




