Penguatkuasaan Penghakiman Melalui Notis Penghakiman Pascasaman Penghutang Penghakiman di Mahkamah Syariah
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(2)no4Abstrak
Penguatkuasaan penghakiman merupakan komponen penting bagi memastikan setiap perintah mahkamah syariah dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya yang melibatkan tuntutan nafkah selepas perceraian. Kajian ini dilakukan untuk meneliti isu penguatkuasaan perintah nafkah di mahkamah syariah di Malaysia dengan memberikan tumpuan khusus terhadap mekanisme saman penghutang penghakiman (SPP). SPP merupakan prosedur yang diperuntukkan dalam Akta/ Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah bagi memaksa penghutang hadir ke mahkamah dan menjelaskan kemampuan kewangannya untuk melunaskan tunggakan. Walaupun mekanisme ini penting bagi menangani isu nafkah pascaperceraian, hasil kajian menunjukkan bahawa wujud konflik amalan dalam kalangan hakim berhubung dengan keperluan untuk memfailkan Notis Penghakiman (NP) selepas SPP. Sebahagian hakim mewajibkan NP sebagai langkah mandatori sebelum sebarang bentuk pelaksanaan lain, manakala sebahagian lagi membenarkan pelaksanaan, seperti sitaan harta atau hiwalah tanpa keperluan NP. Percanggahan ini menimbulkan ketidakpastian undang-undang kepada pihak pemiutang, sekali gus melambatkan proses pelaksanaan dan menambah beban kewangan. Walau bagaimanapun, amalan kehakiman menunjukkan bahawa wujud ketidakseragaman mengenai keperluan NP selepas SPP. Hal ini menimbulkan ketidakpastian dari sudut pelaksanaan penghakiman. Dengan menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis doktrin terhadap peruntukan statut, enakmen, serta kes mahkamah, termasuklah Fatimah lwn. Zuhaan (2020) dan Syuhada lwn. Arfan (2019), ditegaskan bahawa tiada peruntukan jelas yang mewajibkan NP selepas SPP. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ketidakseragaman amalan tersebut lebih berpunca daripada perbezaan tafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan berbanding dengan kekurangan peruntukan undang-undang itu sendiri. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar garis panduan yang lebih jelas diwujudkan untuk menyeragamkan amalan kehakiman, melindungi hak pemiutang dan memastikan prinsip maslahah dan keadilan substantif dalam undangundang keluarga Islam di Malaysia terus dipelihara.
Kata kunci: Saman Penghutang Penghakiman (SPP), Notis Penghakiman (NP), nafkah, mahkamah syariah, penguatkuasaan perintah, tunggakan nafkah
Teks penuh: PDF




