Undang-Undang Teleperubatan dalam Penjagaan Kesihatan di Malaysia: Satu Sorotan
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no5Abstrak
Perkembangan teleperubatan mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan membolehkan konsultasi, diagnosis dan rawatan dilakukan secara jarak jauh melalui platform digital. Di Malaysia, Akta Teleperubatan 1997 digubal bagi mengawal selia perkhidmatan ini. Namun begitu, ketiadaan penguatkuasaan yang jelas menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya untuk menangani isu undang-undang dan etika yang berlaku. Oleh itu, pengkaji meneliti secara kritikal kerangka perundangan teleperubatan di Malaysia dengan memfokuskan isu kecuaian perubatan, kerahsiaan pesakit, izin bermaklumat dan bidang kuasa. Ketiadaan garis panduan khusus dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang
mewujudkan jurang perundangan yang berpotensi merisikokan pesakit dan pengamal perubatan, khususnya dalam perundangan maya. Melalui metodologi kualitatif dengan pendekatan perbandingan undang-undang, pengkaji menganalisis literatur daripada luar negara, iaitu Singapura dan Australia sebagai rujukan perbandingan. Pengkaji juga mencadangkan penambahbaikan terhadap kerangka perundangan dalam konteks teleperubatan di Malaysia, termasuklah pengemaskinian akta sedia ada, serta pewujudan peraturan khusus teleperubatan dan mekanisme penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menjamin perkhidmatan kesihatan digital yang selamat, beretika dan mampan.
Kata kunci: Perkhidmatan kesihatan digital, etika, kecuaian perubatan, penjagaan kesihatan maya, teleperubatan, penambahbaikan undang-undang
Teks penuh: PDF




