Arahan Perubatan Awal di Malaysia: Isu dan Cabaran
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no3Abstrak
Arahan Perubatan Awal merupakan instrumen penting bagi memastikan hasrat pesakit terhadap rawatan perubatannya dihormati ketika pesakit tidak lagi berupaya untuk menetapkan keputusan. Di Malaysia, walaupun wacana yang berkaitan dengan autonomi pesakit makin mendapat perhatian, pelaksanaan Arahan Perubatan Awal masih terhad disebabkan oleh ketiadaan peruntukan undang-undang yang khusus dan kefahaman awam yang rendah. Penulisan ini membincangkan isu amalan Arahan Perubatan Awal dan cabaran dalam pelaksanaannya di Malaysia dengan lebih mendalam. Melalui pendekatan kualitatif yang berasaskan analisis kandungan, perbincangan ini menekankan keperluan bimbingan profesional dalam penyediaan dokumen tersebut dan merujuk bidang kuasa perundangan di negara luar sebagai perbandingan. Data diperoleh daripada sumber primer dan sumber sekunder bagi menyokong tujuan dan maksud penulisan ini. Kupasan utama penulisan ini adalah untuk merungkaikan isu yang berasaskan kekangan dan ketiadaan undang-undang khusus yang menerangkan amalan Arahan Perubatan Awal. Penulis mendapati bahawa sehingga masa ini, tiada undang-undang khusus yang berkaitan dengan Arahan Perubatan Awal di Malaysia. Oleh hal yang demikian, penambahbaikan dari sudut perundangan adalah amat signifikan dalam konteks ini.
Kata kunci: Arahan Perubatan Awal, autonomi pesakit, perundingan perubatan, etika perubatan, akhir hayat, prinsip autonomi
Teks penuh: PDF




