Bidang Kuasa Mahkamah Sivil dalam Kes Pemalsuan Dokumen Perkahwinan: Analisis Perundangan dan Kajian Kes
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no4Abstrak
Pemalsuan dokumen satu daripada cabaran dalam pembuktian keterangan dokumentar di mahkamah sivil Malaysia, khususnya apabila melibatkan sijil perkahwinan, rekod pendaftaran dan dokumen sokongan yang menjadi asas pengiktirafan kesahan sesuatu perkahwinan. Pemalsuan dokumen dalam konteks perkahwinan menyebabkan implikasi undang-undang yang signifikan, termasuklah penentuan kesahan perkahwinan, prosiding perceraian, tuntutan harta pusaka dan hak perundangan pihak yang terlibat. Dengan berdasarkan rangka kerja perundangan sivil, kesalahan ini dikawal selia, terutamanya melalui Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Dalam kajian ini, pengkaji menganalisis bidang kuasa mahkamah sivil bagi menangani kes pemalsuan dokumen perkahwinan, meneliti peruntukan perundangan yang berkaitan, serta menganalisis beberapa keputusan kes utama yang membentuk amalan semasa dan mengemukakan cadangan reformasi perundangan bagi memperkukuh peranan mahkamah sivil untuk menangani pemalsuan dokumen perkahwinan di Malaysia. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif melalui kaedah analisis dokumen terhadap sumber undang-undang primer dan undang-undang sekunder. Data yang diperoleh kemudiannya dipaparkan dalam bentuk subtema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa mahkamah sivil menginstitusikan prosedur pembuktian yang ketat dan konsisten dalam penilaian ketulenan dokumen, termasuklah melalui perbandingan tandatangan, penggunaan keterangan pakar dan pemakaian Seksyen 73 Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Di samping itu, peruntukan, seperti Seksyen 42 Akta 164 memperuntukkan hukuman punitif yang jelas bagi kesalahan yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen perkahwinan dan mencerminkan komitmen undang-undang untuk mencegah penyalahgunaan dokumen rasmi. Sumbangan utama kajian ini adalah untuk menjelaskan bidang kuasa mahkamah sivil dan menilai keberkesanan peruntukan statutori dan prinsip pembuktian bagi menangani pemalsuan dokumen perkahwinan. Kajian ini turut mengemukakan keperluan reformasi perundangan dan pentadbiran, termasuklah penambahbaikan mekanisme verifikasi dokumen dan penerapan ciri keselamatan digital, bagi meningkatkan integriti pendaftaran perkahwinan di Malaysia.
Kata kunci: Pemalsuan dokumen, keterangan, sijil perkahwinan, mahkamah sivil, bidang kuasa, reformasi perundangan
Teks penuh: PDF




