Pemantauan Nafkah Pascaperceraian di Malaysia: Analisis Peranan Bahagian Sokongan Keluarga dari Perspektif Fekah dan Undang-undang

Pengarang

  • Mohd Hazwan Ismail Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 09300 Kuala Ketil, Kedah, Malaysia.
  • Mohd Mirza Abdul Rashid Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, 10450 Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no6

Abstrak

Isu kegagalan pembayaran nafkah pascaperceraian dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia masih menjadi cabaran besar walaupun undang-undang syariah memperuntukkan hak tersebut secara jelas. Kegagalan bekas suami untuk menunaikan tanggungjawab ini memberikan kesan langsung terhadap bekas isteri dan anak. Oleh itu, mahkamah syariah melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) memperkenalkan pelbagai mekanisme penguatkuasaan, termasuklah sistem e-Nafkah pada tahun 2023. Objektif kajian ini adalah untuk menilai pemantauan nafkah setelah diperintahkan oleh mahkamah melalui perbandingan antara fekah klasik dengan inovasi perundangan yang memanfaatkan penggunaan teknologi pada zaman ini. Kajian ini menggunakan pendekatan teori, iaitu kaedah kualitatif melalui analisis teks fekah klasik, statut undang-undang keluarga Islam, laporan BSK dan sokongan temu bual lapangan bersama-sama seorang pegawai mahkamah bagi menilai kesesuaian pendekatan moden ini dari perspektif fekah dan maqasid syariah. Hasil kajian menunjukkan bahawa fekah klasik menetapkan nafkah sebagai hak individu (al-ḥaqq li al-ādami) yang hanya boleh dituntut apabila terdapat aduan daripada pemiutang, sedangkan undang-undang di Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih proaktif dengan pemantauan automatik. Walaupun terdapat perbezaan pendekatan, sistem moden ini masih dianggap selari dengan maqasid syariah kerana berupaya menjaga maslahat keluarga, melindungi kepentingan anak dan mengurangkan beban ibu tunggal. Kaedah fekah, iaitu lā yunkar taghayyur al-aḥkām bi taghayyur al-azmān, turut menjadi asas perubahan tersebut. Namun demikian, prinsip asas fekah tetap mengiktiraf bahawa nafkah dapat dilepaskan melalui ibrak apabila dipersetujui oleh pemiutang. Oleh itu, pelaksanaan e-Nafkah perlu seimbang antara kepentingan untuk menjaga kelangsungan hidup keluarga dengan penghormatan terhadap hak individu, sekali gus membuktikan bahawa undang-undang keluarga Islam berupaya untuk beradaptasi dengan tuntutan realiti kontemporari tanpa menyalahi prinsip syariah.

Kata kunci: Nafkah, Bahagian Sokongan Keluarga, e-Nafkah, fekah klasik, maqasid syariah, ibrak

Teks penuh: PDF

Rujukan

Diterbitkan

2026-01-30

Cara Memetik

Pemantauan Nafkah Pascaperceraian di Malaysia: Analisis Peranan Bahagian Sokongan Keluarga dari Perspektif Fekah dan Undang-undang. (2026). Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia, 38(1), 129-150. https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no6