Implikasi dan Cabaran Ratifikasi Malaysia Terhadap Triti WIPO mengenai Harta Intelek, Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional yang Berkaitan

Pengarang

  • Nazura Abdul Manap Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no2

Abstrak

Isu perlindungan sumber genetik dan pengetahuan tradisional makin mendapat perhatian dalam perundangan harta intelek antarabangsa, khususnya selepas penggubalan Perjanjian Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) mengenai Harta Intelek, Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional yang Berkaitan (GRATK 2024). Perjanjian ini merupakan pencapaian penting kerana buat pertama kalinya mekanisme pendedahan asal usul sumber genetik dan pengetahuan tradisional diwajibkan dalam permohonan paten, selaras dengan usaha global bagi membendung biopencerobohan dan mengiktiraf hak komuniti adat. Sebagai negara mega biodiversiti yang kaya dengan warisan pengetahuan tradisional, Malaysia masih belum meratifikasikan triti ini. Oleh itu, pengkaji menilai kesesuaian dan implikasi ratifikasi dengan meneliti jurang dalam rangka undang-undang sedia ada, seperti Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, akta Cap Dagangan 2019, Akta Petunjuk Geografi 2022, serta dasar biodiversiti negara. Metodologi yang digunakan ialah analisis dokumen kualitatif yang meliputi teks perjanjian, undang-undang domestik, laporan dasar dan kajian kes pencerobohan bioantarabangsa, seperti neem, kunyit, basmati dan hoodia, yang dibandingkan dengan herba tempatan, seperti tongkat ali dan kacip fatimah. Dapatan menunjukkan bahawa ratifikasi triti ini mampu memperkukuh perlindungan hak komuniti adat, meningkatkan keselarasan dengan piawaian antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan geopolitik Malaysia dalam rundingan global. Namun begitu, pelaksanaannya memerlukan pindaan undang-undang, pengukuhan kapasiti institusi, pembangunan pangkalan data pengetahuan tradisional, serta mekanisme perkongsian manfaat yang adil dan saksama. Oleh itu, satu strategi pelaksanaan yang menyeluruh dan inklusif amat penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja melindungi biodiversitinya, tetapi turut mempertahankan kedaulatan pengetahuan warisan pada era globalisasi.

Kata kunci: Pengetahuan tradisional, sumber genetik, biopencerobohan, harta intelek, permohonan paten, ratifikasi

Teks penuh: PDF

Rujukan

Diterbitkan

2026-01-30

Cara Memetik

Implikasi dan Cabaran Ratifikasi Malaysia Terhadap Triti WIPO mengenai Harta Intelek, Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional yang Berkaitan. (2026). Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia, 38(1), 29-58. https://doi.org/10.37052/kanun.38(1)no2