Implikatur dalam Novel The Missing Piece 1: Analisis Teori Relevans

Pengarang

  • Julaina Nopiah Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, 84600 Muar Johor, Malaysia.1&2 http://orcid.org/0009-0007-0384-4857 (tidak disahkan)
  • Murni Zulaikha Md Abdur Rafique Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, 84600 Muar Johor, Malaysia.

DOI:

https://doi.org/10.37052/jb26(1)no3

Abstrak

Bahasa dalam karya sastera lazimnya bersifat bukan literal dan sarat dengan makna tersirat yang dikenali sebagai implikatur. Sehubungan dengan itu, kajian ini dilakukan untuk menganalisis penggunaan implikatur sebagai instrumen naratif dalam novel The Missing Piece 1 karya Fatimah Busu. Dengan mengaplikasikan kerangka teori relevans (Sperber & Wilson, 1995), kajian ini memperincikan cara mesej tersirat diproses dan difahami melalui interaksi dinamik antara teks, konteks dan proses kognitif pembaca. Kajian ini memfokuskan dua prinsip utama teori relevans, iaitu prinsip relevans kognitif dan prinsip relevans komunikatif, di samping meneliti konsep ad hoc yang merangkumi penyempitan dan peluasan makna dalam pentafsiran implikatur yang terdapat dalam dialog dan metafora novel. Secara khususnya, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti jenis implikatur yang digunakan dalam novel, menganalisis implikatur berdasarkan kerangka teori relevans 1995, serta menjelaskan fungsi implikatur sebagai alat naratif yang membentuk perkembangan plot dan penghayatan emosi watak. Kaedah kualitatif digunakan melalui analisis teks yang berfokuskan eksplikatur dan implikatur menurut teori relevans. Dapatan kajian menunjukkan bahawa implikatur berfungsi untuk memperdalam nuansa emosi, menghasilkan kesan kognitif yang signifikan dan membolehkan pembaca mencapai pemahaman optimum dengan usaha pemprosesan minimum sebagaimana yang dihuraikan dalam teori relevans. Kajian ini menyumbang kepada pengembangan analisis pragmatik sastera melalui penerapan teori relevans secara kritis dan sistematik.

Kata kunci: Implikatur, teori relevans, konsep ad hoc, eksplikatur, naratif sastera, metafora

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik

Implikatur dalam Novel The Missing Piece 1: Analisis Teori Relevans. (2026). Jurnal Bahasa, 26(1). https://doi.org/10.37052/jb26(1)no3