Garis Panduan Pengarang

Garis Panduan Penulisan

Pengarang sangat dinasihati untuk mematuhi garis panduan penulisan yang berikut untuk mengelakkan sebarang pelanggaran terhadap panduan yang ditetapkan dan meminimumkan kesilapan untuk mempercepat proses penerbitan:

Tajuk: Frasa yang ringkas dan padat yang mencerminkan topik utama dan fokus kajian dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Abstrak: Ringkasan tentang pengenalan, tujuan kajian, metodologi, penemuan utama, dan kesimpulan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris antara 150 hingga 250 patah perkataan.

Kata Kunci: Enam istilah berkaitan yang mewakili konsep dan tema utama kajian dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pengenalan: Gambaran umum tentang topik kajian, latar belakang, dan masalah atau persoalan yang ingin diselesaikan.

Kajian Lepas: Rumusan kritikal tentang kajian dan teori terdahulu yang berkaitan, serta jurang kajian yang ingin diisi.

Metodologi: Penerangan tentang reka bentuk kajian, alat, prosedur dan teknik yang digunakan untuk mengumpul dan menganalisis data.

Dapatan dan Perbincangan: Analisis dan perbincangan hasil kajian, termasuklah kepentingan dan hubungannya dengan pengetahuan sedia ada.

Kesimpulan: Rumusan ringkas tentang penemuan utama, implikasi kajian, dan cadangan untuk penyelidikan masa hadapan.

Penghargaan: Merakamkan ucapan terima kasih kepada individu atau organisasi yang memberi sokongan dalam bentuk apa-apa pun dengan menyatakan sumbangan tersebut, tetapi tidak cukup signifikan untuk dikategorikan sebagai pengarang.

Sumbangan Pengarang: Menyatakan peranan setiap pengarang dalam penyelidikan dan penulisan makalah untuk memastikan ketelusan.

Pernyataan Ketersediaan Data: Menyatakan dengan jelas tentang cara pembaca atau penyelidik lain boleh mengakses data yang digunakan dalam kajian tersebut.

Perisytiharan Konflik Kepentingan: Menyatakan sama ada terdapat sebarang konflik kepentingan yang boleh mempengaruhi penerbitan sama ada dari segi kewangan dan bukan kewangan.

Rujukan: Menyediakan lebih daripada 15 rujukan yang berwibawa yang sebahagiannya diambil daripada jurnal dan mengikut gaya American Psychological Association (APA) Edisi Ketujuh. Setiap rujukan yang ada dalam teks mesti ada dinyatakan dalam senarai Rujukan di belakang teks.

Contoh templat:       templat bahasa Melayu || templat bahasa Inggeris

Kriteria Pengarang

  • Pengarang ialah orang yang mempunyai kriteria kepengarangan yang terlibat dalam penyediaan konsep dan reka bentuk kajian/pengumpulan data/analisis/penginterpretasian data, penyediaan makalah/penyemakan makalah, penyediaan makalah akhir, pengesahan makalah akhir, penghantaran makalah akhir dan boleh bertanggungjawab terhadap makalah yang dihasilkan.
  • Jika pengarang lebih dari seorang, pengarang koresponden perlu dilantik dan bertanggungjawab sebagai penghubung antara pengarang dengan editor dalam setiap proses prapenerbitan dan pascapenerbitan, memastikan semua keperluan jurnal dipenuhi, memastikan semua pengarang bersama melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
  • Pihak yang tidak layak dikategorikan sebagai pengarang tetapi masih memberikan sumbangan (seperti perolehan dana, penyeliaan umum, sokongan pentadbiran, penyuntingan, penterjemahan dan pembacaan pruf) dalam makalah ini haruslah dikategorikan sebagai penyumbang.

Garis Panduan Penyerahan

  • Penghantaran makalah adalah menerusi http://jurnal.dbp.my/index.php/jurnalbahasa sahaja.
  • Makalah yang dihantar mestilah asli dan tidak diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.
  • Jumlah perkataan dalam makalah antara 5000-8000 patah perkataan termasuk abstrak bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, nota kaki, rujukan, jadual, rajah, lampiran dan bibliografi.
  • Teks makalah menggunakan fon Times New Roman.
  • Inden setiap perenggan dengan tab.
  • Gunakan tiga peringkat tajuk (maksimum).
  • Makalah yang mengandungi ejaan dan simbol yang tidak dapat dibaca dalam Microsoft Word perlulah disertakan dalam format PDF.

Penarikan dan Pengeluaran makalah

Jurnal Bahasa membenarkan penarikan makalah dengan alasan yang munasabah. Penarikan tersebut mesti dilakukan secara rasmi. Bayaran balik mungkin akan dikenakan jika terdapat kos yang telah dikeluarkan.

Bagi makalah yang telah diterima bagi penerbitan tetapi tidak mendapat maklum balas daripada pengarang dalam tempoh tertentu, Jurnal Bahasa mengandaikan bahawa pengarang tidak berminat untuk meneruskan penerbitan makalah tersebut.

Hak Cipta

  • Penyumbang/penulis memberikan keizinan kepada DBP untuk menerbitkan makalah mereka dalam jurnal DBP dan disiarkan dalam talian. (Muat Turun Borang Pengisytiharan dan Penyerahan Hak Cipta)
  • Jika penulis ingin menerbitkan semula mana-mana makalahnya yang diterbitkan dalam Jurnal Bahasa, pengarang perlu memaklumkan bahawa sumber makalah tersebut daripada jurnal terbitan DBP.