Apabila Kritikan Tidak Kritis: Konsep Adab Menyumbang kepada Kekritisan Analitis dalam Analisis Wacana Kritis

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jb26(1)no4

Abstrak

Kritik merupakan asas kekritisan dalam analisis wacana kritis (AWK). Namun begitu, dalam budaya komunikasi Melayu, kritikan sering difahami melalui kerangka kesantunan kerana teguran terhadap kelemahan dapat mengancam air muka, maruah dan keharmonian sosial. Akibatnya, kritikan langsung mudah disamakan dengan kecaman atau tindakan mencari salah. Ekoran daripada masalah ini, pengkaji merumuskan kritik berteraskan adab berdasarkan pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai prinsip pertanggungjawaban analitis dalam AWK. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan metakritik terhadap 11 jawapan analitis pelajar pascasiswazah (n=11) bagi tugasan AWK tentang iklan produk penjagaan selepas bersalin. Analisis dilakukan dalam dua tahap. Pertama, analisis rujukan terhadap iklan bagi memperlihatkan hubungan antara teks, bukti linguistik atau semiotik, tafsiran dan penjelasan sosial. Kedua, analisis metakritik terhadap jawapan pelajar berdasarkan empat syarat kekritisan, iaitu kepekaan terhadap ketidakadilan makna, pertanggungjawaban bukti, penjelasan mekanisme diskursif dan orientasi emansipasi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa iklan tersebut mengaitkan tubuh wanita pascabersalin dengan kesetiaan suami melalui struktur syarat-matlamat tersirat, orientasi bouletik dan pengagihan agensi. Jawapan pelajar pula memperlihatkan keterbatasan apabila teks tidak dijadikan objek analisis, tafsiran tidak berkembang menjadi penjelasan, teori tidak dioperasikan, dan penilaian kritis tidak dibuktikan melalui bukti linguistik atau semiotik. Makalah ini menyumbang kepada dekolonialisasi AWK dengan mengemukakan adab sebagai prinsip pertanggungjawaban analitis tanpa meninggalkan analisis sistematik berasaskan bukti.

Kata kunci: Analisis wacana kritis, adab, kritik, dekolonialisasi, pertanggungjawaban analitis, wacana iklan 

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik

Apabila Kritikan Tidak Kritis: Konsep Adab Menyumbang kepada Kekritisan Analitis dalam Analisis Wacana Kritis. (2026). Jurnal Bahasa, 26(1). https://doi.org/10.37052/jb26(1)no4