Glokalisasi Linguistik dalam Penamaan Menu Francais di Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.37052/jb26(1)no6Abstrak
Kajian mengenai glokalisasi dalam industri makanan segera makin berkembang dalam bidang linguistik pemasaran, namun kebanyakannya menumpukan elemen visual dan strategi pemasaran umum, manakala aspek struktur linguistik dalam penamaan menu masih kurang diteroka. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti dan menjelaskan strategi linguistik yang digunakan dalam penamaan menu Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s di Malaysia dalam proses glokalisasi. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis teks menu rasmi dan bahan pemasaran digital melalui media sosial dalam tempoh lima tahun terkini. Data dianalisis menggunakan kerangka linguistik berasaskan glokalisasi bagi menganalisis penamaan menu bahasa Melayu dengan prosedur pengekodan tematik yang melibatkan kategori peminjaman leksikal, hibriditi/kod campuran, dialek, metafora, nostalgia, serta rujukan budaya. Dapatan menunjukkan bahawa KFC lebih mengekalkan identiti tempatan melalui peminjaman leksikal penuh dan metafora budaya, manakala McDonald’s lebih cenderung menggunakan hibriditi, kod campuran, serta elemen dialek dan nostalgia untuk membina identiti glokal yang lebih santai dan kreatif. Strategi ini menunjukkan bahawa penamaan menu berfungsi sebagai mekanisme linguistik dalam pembentukan pengalaman budaya dan persepsi jenama. Kajian ini menyumbang peluasan kerangka analisis glokalisasi linguistik dengan memfokuskan struktur penamaan menu secara khusus, serta menegaskan bahawa bahasa berperanan sebagai strategi utama dalam pembinaan identiti jenama dalam pasaran global dan tempatan.
Kata kunci: Glokalisasi linguistik, penamaan menu, francais, peminjaman leksikal, kreativiti metafora, linguistik pemasaran
Rujukan
Diterbitkan
Terbitan
Bahagian
Lesen
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.





