Pengleksikalan Domain Spektrum: Penyelidikan Terhadap Akar Semantik Pengkategorian Warna

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jb26(1)no1

Abstrak

Kajian ini dilakukan untuk menangani isu yang berkaitan dengan pemahaman evolusi leksikal dialek Melayu Pahang purba, khususnya dalam domain warna. Dalam hal ini, pengkaji merungkai kerumitan peluasan semantik, peralihan fonologi dan galur etimologi yang kian kabur. Bagi merungkai kerumitan tersebut, pengumpulan data dan analisis rekonstruktif dilakukan berasaskan kerangka kerja yang dikemukakan oleh Crowley dan Bowern (2010) sebagai panduan dalam pembentukan leksikon purba. Bagi menentusahkan galur leksikal purba berkenaan, kerangka etimologi dan semantik yang dibangunkan oleh Nothofer (2013) diaplikasikan. Pembentukan leksikon purba tersebut berdasarkan data sinkronik yang dikutip di sembilan buah lokasi di sepanjang Sungai Pahang. Sesi temu bual menggunakan soal selidik yang mengandungi senarai 400 kata dilakukan di lapangan bagi mendapatkan bentuk penyebutan setempat. Daripada 400 kosa kata berkenaan, sebanyak 10 kosa kata yang tergolong dalam domain warna dipilih untuk dibincangkan dalam makalah ini. Dapatan utama mendedahkan kewujudan leksikon warna yang dibentuk oleh dua proses primer, iaitu inovasi dalaman dan kontak linguistik luaran. Proses yang dinyatakan merangkumi interaksi dengan keluarga bahasa Intra-Austronesia, Indo-Eropah dan Parsi. Selain itu, varian tunggal tertentu dalam kajian ini didapati mengekalkan pelabelan spektrum warna sekunder dengan menyandarkannya kepada warna primer. Hal yang paling menarik dan bertentangan dengan andaian konvensional ialah leksikon warna purba yang berafiliasi secara genetik dengan keluarga bahasa Melayik didapati merangkumi warna yang melangkaui kategori warna asas. Tuntasnya, dapatan ini memberikan petunjuk jelas tentang kedinamikan yang sedia ada dalam leksikon dialek Melayu Pahang. Dialek ini sentiasa beradaptasi melalui peminjaman, pewarisan penuh dan modifikasi kata akar bagi membentuk makna baharu, sekali gus memenuhi keperluan terhadap terminologi yang lebih renik dalam spektrum warna.

Kata kunci: Dialek Melayu Pahang purba, evolusi leksikal, leksikon warna, rekonstruksi leksikal purba, peluasan semantik, kontak linguistik

Biografi Pengarang

  • Muhammad Norsyafiq Zaidi, Jabatan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Prince of Songkla University, 9400, Pattani, Thailand.

     

         

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik

Pengleksikalan Domain Spektrum: Penyelidikan Terhadap Akar Semantik Pengkategorian Warna. (2026). Jurnal Bahasa, 26(1). https://doi.org/10.37052/jb26(1)no1