Anjing dan Akal Budi Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/jb26(1)no2

Abstrak

Kajian ini dilakukan untuk meneliti asas yang mempengaruhi pembentukan peribahasa Melayu berunsurkan anjing yang secara umumnya sering membawa maksud tidak baik. Makna kamus tidak memadai untuk memahami falsafah dan akal budi di balik alasan pemilihan imej anjing dalam pembentukan peribahasa Melayu. Sumber data kajian ini diperoleh daripada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (2016). Sejumlah 38 peribahasa bersumberkan anjing dikenal pasti dalam kamus ini. Analisis awal mendapati bahawa kebanyakan peribahasa yang bersumberkan anjing membawa konotasi sifat yang buruk, hina dan jijik. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan bagi mengkategorikan data, manakala pendekatan semantik inkuisitif diaplikasikan untuk menghuraikan makna secara berperingkat dengan menghubungkaitkan data autentik, kognitif penutur dan akal budi Melayu. Walaupun keseluruhan data dianalisis secara tematik, hanya satu peribahasa daripada domain peri laku sosial negatif dipilih untuk dianalisis secara mendalam. Rasional pemilihan ini adalah untuk memenuhi tuntutan analisis kualitatif interpretatif yang memberikan penekanan terhadap kedalaman huraian makna berbanding dengan kuantiti data. Dapatan kajian membuktikan bahawa pengaruh agama Islam berperanan penting dalam pembentukan persepsi makna dalam ungkapan peribahasa yang berunsurkan anjing. Haiwan ini dikaitkan dengan status najis mughallazah dan haram dipelihara tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, selain memiliki sifat yang tidak baik, seperti tamak, hina, jahat kelakuan dan penakut. Rumusannya, peribahasa Melayu yang berunsurkan anjing ini bukan sekadar metafora bagi sifat yang tidak baik, tetapi merupakan manifestasi akal budi Melayu yang membezakan kedudukan imej haiwan ini hasil daripada pandangan agama dan sosiobudaya masyarakat. Implikasinya, kajian ini memperkukuh pemahaman tentang hubungan antara bahasa, budaya dan agama dalam masyarakat Melayu, serta membuka ruang penyelidikan lanjut terhadap pemaknaan fauna lain dalam usaha mendokumentasikan falsafah dan kearifan tempatan.

 Kata kunci: Peribahasa Melayu, anjing, semantik inkuisitif, teori relevans, akal budi Melayu, sosiobudaya

Rujukan

Diterbitkan

2026-06-30

Cara Memetik

Anjing dan Akal Budi Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif. (2026). Jurnal Bahasa, 26(1). https://doi.org/10.37052/jb26(1)no2