Pengaruh Bahasa Mandarin Terhadap Tahap Pemahaman Penjodoh Bilangan Biji dalam kalangan Masyarakat Cina Semenanjung Malaysia
Abstrak
Penjodoh bilangan berperanan penting dalam interaksi harian rakyat Malaysia kerana penggunaannya mencerminkan kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di negara ini. Penjodoh bilangan Melayu "biji" lazim digunakan untuk objek kecil dan bulat, khususnya buah. Walau bagaimanapun, kajian terdahulu menunjukkan penurunan dalam tahap pemahaman penjodoh bilangan merentasi generasi. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti tahap pemahaman penjodoh bilangan "biji" dalam kalangan masyarakat Cina Semenanjung Malaysia dan menganalisis pengaruh bahasa Mandarin terhadap pemahaman penjodoh bilangan biji dalam kalangan responden yang sama berdasarkan teori pemindahan dan gangguan oleh Lado (1957). Soal selidik diedarkan kepada 400 responden yang semuanya penutur jati bahasa Mandarin Cina Malaysia dari empat zon geografi di Semenanjung Malaysia. Item soal selidik dirangka menggunakan definisi dan contoh daripada kamus penjodoh bilangan Melayu yang berwibawa bagi memastikan kesahan data. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap pemahaman penjodoh bilangan "biji" dalam kalangan masyarakat Cina Semenanjung adalah rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan. Dari segi pengaruh bahasa Mandarin, pemindahan negatif lebih kerap berlaku berbanding dengan pemindahan positif. Dalam hal ini, bahasa Mandarin turut menyebabkan pemindahan negatif bagi semua penjodoh bilangan yang dikaji, kecuali penjodoh bilangan "biji" yang merujuk objek kecil dan bulat yang lazim. Penemuan ini membawa implikasi penting terhadap pedagogi pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Cina sebagai bahasa kedua, khususnya dengan mengambil kira aspek semantik bahasa pertama.
Kata kunci: Penjodoh bilangan bahasa Melayu, biji, Semenanjung Malaysia, masyarakat Cina Malaysia, tahap penguasaan, analisis kontrastif

Karya ini dilesenkan di bawah Lesen Antarabangsa Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0.
Setelah makalah diterima untuk diterbitkan, penulis diminta untuk menyerahkan hak ciptanya kepada penerbit. Pemindahan ini akan memastikan penyebaran maklumat dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Pemberitahuan akan dihantar kepada penulis bagi mengesahkan penerimaan manuskrip untuk diterbitkan dalam Jurnal Bahasa. Sekiranya terdapat petikan daripada karya hak cipta yang lain disertakan, penulis mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta dan mengkreditkan sumber dengan jelas dalam makalah tersebut.





