Kesetaraan Makna Kata Samaran Laras Algoritma dalam Media Sosial Berdasarkan Teori Prosodi Semantik

Abstrak

Fenomena penggunaan kata laras algoritma dalam media sosial menunjukkan kemunculan strategi penyamaran linguistik yang membolehkan mesej bernada negatif disampaikan secara tersirat, namun kekal terselindung daripada sistem kawalan algoritma. Dengan berdasarkan sorotan literatur, didapati bahawa masih kurang pendekatan empirikal digunakan bagi memahami bentuk penyamaran visual kata laras algoritma yang kini penggunaannya makin meluas dalam wacana digital, dan kesan penyamaran tersebut terhadap makna asal kata yang terlibat. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti kategori jenis kata yang lazim disamarkan bagi menggambarkan sisi negatif manusia dan meneliti kesetaraan makna tersirat antara kata samaran berbentuk laras algoritma dengan bentuk asal kata terlibat berpandukan teori prosodi semantik. Sebanyak 5,000 komen awam daripada Facebook diekstrak menggunakan aplikasi PhantomBuster sebagai sumber data utama. Pengumpulan data dilaksanakan melalui Application Programming Interface (API) dengan bantuan skrip automatik yang direka khusus untuk mengekstrak komen pengguna secara sistematik. Analisis dilakukan secara kualitatif melalui kaedah pengekodan terbuka dan analisis tematik, disusuli oleh penerapan teori prosodi semantik yang berfokuskan pola kolokasi dan konteks makna penilaian yang mendasari ujaran. Hasil analisis menunjukkan bahawa pengguna media sosial cenderung untuk menyasarkan kelemahan individu dari aspek fizikal, moral, intelektual, sosial dan ideologi melalui bentuk penyamaran kata berbentuk laras algoritma, seperti “l3mb00”, “p3ny0nd0l” dan “m4c41 p0l1t!k”. Walau bagaimanapun, dapatan kajian membuktikan bahawa transformasi ejaan tidak menjejaskan kekuatan makna asal kerana konteks kolokasi dan penilaian yang mengiringinya masih mengekalkan makna tersirat secara konsisten. Secara keseluruhan, penerapan teori prosodi semantik terbukti mampu menangani isu kekaburan makna dalam bahasa tersamar dan menyebabkan pengembangan wacana semantik digital secara empirikal dan kontekstual, khususnya melalui penyediaan asas metodologi untuk menganalisis strategi penyamaran kata dalam media sosial, serta menawarkan panduan praktikal bagi penyelidikan linguistik digital, pendidikan bahasa dan pengurusan kandungan digital.


Kata kunci: Laras algoritma, makna tersirat, prosodi semantik, media sosial, kolokasi, penyamaran bahasa

Telah diterbitkan
2025-11-28
Bagaimana untuk memetik sitasi
Isam, H. (2025). Kesetaraan Makna Kata Samaran Laras Algoritma dalam Media Sosial Berdasarkan Teori Prosodi Semantik. Jurnal Bahasa, 25(2), 31-60. Dicapai daripada http://jurnal.dbp.my/index.php/jurnalbahasa/article/view/9151/4681